Monday, May 5, 2014

TERIMA KASIH ADIK.. :')

" Berambus kau dari sini, pembawa malang!” Seorang lelaki berbadan gempal menghambat seekor anak kucing yang sudah kematian ibunya. Anak kucing itu berwarna kelabu dan mempunyai tompok putih pada badannya. Belang di kaki anak kucing tersebut kelihatan seperti sarung kaki.

“ Miaauuww..” anak kucing itu cuba meminta simpati.
“ Mak kau dah aku humban dalam tasik. Pergi cari mak kau disana. Jangan ganggu aku!” Herdik lelaki tersebut kepada anak kucing malang itu.
“ Miauuuuwww..” Anak kucing itu cuba meminta simpati lagi.
“ Berambus!” Tengking lelaki berbadan gempal lagi sambil menyepak anak kucing tersebut. Belum puas disepak, lelaki berbadan gempal mengambil kayu lalu memukul anak kucing itu. Anak kucing meronta dan cuba menggagahkan diri untuk lari dari perbuatan kejam lelaki berbadan gempal.
“ Jangan kau berani datang ke sini lagi. Kalau tidak aku sembelih kau macam aku sembelih adik-beradik kau dan aku buang bangkai kau dalam longkang!” Jerit lelaki berbadan gempal tersebut.
Lelaki itu membunuh semua keluarga anak kucing selepas kematian anak tunggalnya, Amin yang ketika kejadian baru berumur 5 tahun. Semasa Amin leka bermain bola dengan anak kucing, Amin terbaling bola keluar dari halaman rumah. Tanpa membuang masa, Amin berlari keluar pagar rumah untuk mengambil bola tersebut. Namun belum sempat Amin mencapai bola, sebuah kereta melanggar Amin. Amin koma dan meninggal tiga hari kemudian kerana pendarahan otak.
Anak kucing malang berjalan sambil menahan kesakitan di seluruh tubuh badannya. Kakinya luka menyebabkan anak kucing tersebut berjalan terjingkit-jingkit. Anak kucing ingin mencari ibunya tetapi dia tidak tahu di arah mana patut dia tuju. Anak kucing malang hanya berjalan selagi kakinya mampu melangkah. Hinggalah perutnya berkeroncong minta di isi makanan.
Anak kucing menangis kerana perutnya mula terasa sakit. Namun anak kucing tidak tahu di mana mahu mencari makanan. Dia berjalan lagi tanpa arah dan tujuan.  Sedang anak kucing berjalan di lorong perumahan, dia ternampak sebuah restoran yang berada di seberang jalan perumahan yang di laluinya.
Anak kucing gerun melihat gergasi besi yang besar berlari laju di atas jalan raya. Terdapat manusia di dalam gergasi besi itu sedang memandu  gergasi tersebut. Gergasi besi itu tidak simpati kepada anak kucing yang sedang menahan sakit dan kelaparan di tepi jalan. Bagaimanapun, anak kucing tersebut terpaksa memberanikan diri juga untuk melintas jalan. Dia tetap ingin mencuba nasib untuk meminta sedikit rezeki dari restoran tersebut. Setelah setengah jam mencuba untuk melintas, akhirnya anak kucing itu berjaya melintas jalan dengan selamat.
Setibanya anak kucing di dalam kedai makan, anak kucing cuba merayau melihat sekiranya ada baki makanan yang di buang oleh manusia di atas lantai. Hampir 10 minit mencari, anak kucing menggalah. Lantai restoran itu bersih dari makanan terbuang seolah-olah restoran itu tidak mengalu-alukannya. Perut anak kucing sudah terlalu lapar. Anak kucing takut ingn mendekati manusia tetapi anak kucing terpaksa mencuba. Anak kucing memberanikan diri mendekati salah seorang pelanggan restoran yang sedang menikmati juadah dengan berselera.
“Miauuww” Anak kucing cuba meminta simpati. “Mmiiaauuuwww” Anak kucing bersuara lagi. Namun orang itu tidak mengendahkannya. “Miauuww” Anak kucing itu mencuba lagi sambil menggesel di kaki orang tersebut.
 “Hoi, mengganggu orang nak makan je!” Marah pelanggan lelaki itu sambil menyepak anak kucing tersebut.
“Miauuww” anak kucing itu menahan kesakitan dan mencuba mendekati pelanggan yang lain pula.
“Mak kesian anak kucing ni mak. Comel la mak. Boleh Adik bela?” Anak kucing itu mendengar kata-kata seorang budak perempuan kecil yang membahasakan dirinya adik. Adik hampir seusia tuan lamanya. 
“Miauuww” Anak kucing itu cuba meminta simpati kepada budak perempuan itu.
“Kau lapar ye comel.. Nah ambil ni. Makan la kenyang-kenyang ye.. " Adik memberikan makanannya  kepada anak kucing malang tersebut.
“Mmiiaauuuwww” Anak kucing mengucapkan terima kasih kepada Adik dengan perasaan gembira.
“Adik, kenapa bagi kucing tu makan semua makanan Adik? Mak beli makanan tu untuk Adik bukan untuk kucing!” Anak kucing berasa takut apabila mendengar Adik di marahi ibunya.
“Syuhh..Syuuhh..” Mak budak perempuan tersebut cuba menghalau anak kucing tersebut. Anak kucing itu tidak berganjak dan cuba meminta simpati.
“ Miiaauuwww”
“Mak biarlah anak kucing ni habiskan makanan dulu mak. Kesian dia. Makanan Adikkan boleh di beli lagi tapi kucing ni tak boleh beli makanan mak.." Petah Adik berbicara cuba mempertahankan anak kucing tersebut. 
" Mak lihat anak kucing ini mak. Dia sedang kelaparan. Lagipun siapa nak habiskan makanan ni nanti? Tolonglah biarkan dia makan dulu mak.” Adik memujuk setelah melihat emaknya tidak menjawab sepatah kata.
“ Baiklah tapi lepas ni jangan buat macam ni lagi. Adik pesan air susu kat abang tu. Anak kucing tak minum air sejuk. Nanti dia haus Adik bagi air sejuk tu pulak.” Emak mengarah adik.
“ Baik mak.. Pak cik saya nak susu suam.” Adik memesan air susu dengan perasaan gembira dan teruja kerana dapat membantu anak kucing tersebut. Namun belum sempat anak kucing itu menghabiskan makanannya, keluarga kanak-kanak perempuan itu balik dan meninggalkannya sendirian. Pemilik restoran ternampak kelibat anak kucing tersebut lalu menghalaunya keluar dari restorannya. Anak kucing sempat lari sebelum pemilik restoran itu memukulnya.
Petang itu, anak kucing memikirkan di mana harus dia bermalam untuk merehatkan badannya yang masih kesakitan. Sedang anak kucing memikirkan tempat untuk bermalam, “Grrroooooaaammmmm..!” Anak kucing terdengar bunyi guruh.
“Mmiiaauuww…” Anak kucing memohon simpati dari orang lalu-lalang. Hujan turun dengan lebatnya. Anak kucing melihat orang ramai berlari ke tempat yang teduh. Anak kucing ketakutan. Namun dia seperti halimunan. Tiada siapa mahu membantunya yang sedang ketakutan. Anak kucing berlari mencari tempat untuk berteduh. Sedang anak kucing berlari, dia ternampak tong sampah besar yang mempunyai roda. Anak kucing berlari masuk ke bawah tong sampah itu agar dirinya tidak di basahi hujan. Namun tidak lama kemudian anak kucing tersebut terpaksa mencari tempat teduh yang lain kerana di bawah tong sampah itu di naiki air.

Semasa berlari di dalam hujan, anak kucing ternampak sebuah gergasi besi yang baru sahaja berhenti di tempat letak kereta. Anak kucing berlindung di bawah gergasi besi sambil mengucap syukur dan bertawakal agar gergasi besi itu tidak bergerak. Anak kucing berdoa agar dirinya selamat dari malapetaka. Selepas hujan berhenti, anak kucing keluar dari bawah gergasi besi kerana takut gergasi itu bergerak dan melanggarnya. Tiba-tiba anak kucing ternampak dua orang lelaki mendekatinya. Anak kucing tidak mampu berganjak kerana terlalu takut pada lelaki itu.
“Hoi Bad ko angkat anak kucing tu. Bawa masuk dalam lori.” Anak kucing melihat salah seorang lelaki bercakap dengan kawannya, Bad.
“ Kau nak buat apa dengan anak kucing ni mok? Berkurap aku tengok kucing tu.” Soal Bad.
“ Aku kesian tengok kucing tu Bad. Lagipun jarang jumpa kucing warna macam ni. Parsi pulak tu. Kau tau harga kucing parsi mahal tau? Aku nak bela. Anak bini aku pun suka dengan kucing” Jawab Mok.
“ Mahal? Kau dah tolak harga kurap kucing ni ke belum?” Sindir Bad.
“Penyakit boleh di rawat Bad. Aku kesian tengok kucing ni. Tolong la angkat dia. Hilang kang.” Mok sudah mulai geram. Kalau tidak kerana tangannya yang penuh dengan barang, dia pasti dah angkat kucing itu tanpa bergaduh dengan kawannya.
“Ala.. Kau nak kau angkat. Aku geli!” Melihat badan kucing yang penuh dengan luka dan kesan lebam, Bad terasa geli mahu memegang anak kucing tersebut.
“ Minta tolong sikit pun payah. Apa punya kawan la kau ni. Walaupun ni kucing tapi dia tetap bernyawa tau?” Mok mengherdik kawannya.
“Iyalah, malas aku nak dengar ceramah kau ni.” Bad mencubit tengkuk anak kucing tersebut dan meletakkannya di tempat letak kaki sebelah pemandu. “ Mok kau ambil kotak kat belakang. Aku nak letak anak kucing ni.” Arah bad.
Mok mengambil kotak kecil yang bersusun di belakang lori dan memberikannya kepada Bad. Anak kucing itu mengiau di dalam kotak kerana ketakutan. Anak kucing itu fobia jika akan di pukul lagi oleh manusia-manusia yang tidak berperikemanusiaan. Dalam masa yang sama, Mok memulakan pemanduan dengan cermat. Selepas sejam memandu, mok memberhentikan kereta di hadapan rumahnya. Tidak lama kemudian, anak kucing terdengar pintu di hempas.  
“Ani, abang ada bawa hadiah untuk Ani!” Anak kucing terdengar sayup-sayup suara lelaki yang bernama mok menjerit. Kemudian anak kucing menunggu di dalam kotak yang gelap itu dalam ketakutan. Keadaan menjadi sunyi sepi. Akhirnya, anak kucing tertidur dalam ketakutan kerana kepenatan.
Tidak lama kemudian, anak kucing terasa badannya di angkat oleh seseorang. Anak kucing membuka matanya. Terlihat seorang wanita dan kanak-kanak perempuan di hadapan matanya. Kucing tersebut seperti pernah melihat wajah mereka. Lantas dia teringat peristiwa di restoran.
“ Miauuuww” Anak kucing gembira kerana bertemu dengan mereka semula.
“Ani rasa macam pernah lihat kucing ni. Abang ambil kucing ni dekat mana?” soal wanita yang bernama Ani.
“Abang nampak kucing ni berteduh dekat bawah lori abang masa nak balik tadi. Abang kesian tengok kucing ni. Abang teringat Ani kerja di klinik haiwan. Pasti Ani dapat merawat anak kucing ni.” Jawab Mok.
“Mak, Adik nak bela kucing ni. Adik rasa ni kucing yang Adik beri makan kat restoran tu la mak.” Budak perempuan itu bercakap dengan teruja.
“ Lepas mak rawat kucing ni, Adik boleh bela tapi pastikan Adik jaga dengan baik ye sayang.” Ani mengizinkan anaknya membela anak kucing tersebut.
“ Miauuww.. Miauuww.. Miauuww.. ” Anak kucing mengucap syukur kerana berjumpa dengan manusia yang baik dan prihatin.
“Mulai hari ini Adik namakan kucing ni Comel. Adik sayang comel. Adik akan jaga comel baik-baik.” Janji budak perempuan yang di panggil Adik itu sambil melompat-lompat keseronokan.
Dari hari ke hari, anak kucing tersebut bertambah sihat dan menginjak dewasa. Setiap hari juga Comel mendoakan kesejahteraan keluarga tersebut. Bulu kucing bertambah cantik. Comel terasa bahagia. Perniagaan Mok semakin maju manakala Ani mendapat kenaikan gaji. Comel selalu menemani Adik mengulangkaji pelajaran. Apabila Adik mula terasa bosan untuk belajar, Comel akan berguling di atas buku Adik seolah-olah meminta Adik mengajarnya dan mengulangkaji bersama dengannya. Adik menjadi seronok belajar bertemankan Comel.
Suatu hari Comel terlihat kemesraan Adik dan maknya, Ani. Comel teringatkan ibunya yang mati di bunuh tuan lamanya. Comel teringin melihat tempat emaknya di buang dulu. Comel ingin mencari ibunya. Comel pernah ternampak tasik berdekatan dengan rumah Adik.
“ Comel…! Comel…! ” Belum sempat Comel berjalan keluar dari perkarangan rumah, Comel terdengar suara Adik memanggil.
“Mak, mak nampak Comel tak?” Sayup-sayup terdengar jeritan Adik bertanya emaknya. 
“ Mak Comel hilang..” Adik mula menangis.
“ Kejap lagi Comel balik ye sayang.. Sabar ye…” Ani cuba menenangkan anaknya.
“ Miauuww.. Miauuww..” Comel meminta maaf dari kejauhan tetapi tidak mahu berpatah ke rumah semula. Dalam hati Comel, dia mendoakan kesejahteraan hidup untuk keluarga Adik yang dah banyak membantu dia.‘ Terima kasih Adik…’ Ungkapan itu hanya terlahir dari dalam Comel. Comel terlalu ingin jumpa ibunya.
Comel pantas berlari menuju ke tasik kerana mahu mencari ibunya. Sedang Comel melintas jalan, Comel terdengar bunyi hon sebuah lori yang makin menghampirinya. Adik dan maknya bergegas keluar dari rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku.
“Comel..!” Adik menjerit sekuat hati apabila melihat tubuh Comel sudah kaku di tepi jalan. “Mak! Comel kena langgar lori” Adik menjerit bagai terkena histeria.
Pemandu lori tersebut melarikan diri apabila melihat kucing itu sudah kaku dan badannya remuk dan hancur separuh di gilis lorinya. Adik meraung sekuat hati. Ani memanggil suaminya keluar untuk memujuk anak mereka.
“ Adik, jangan menangis sayang. Nanti roh Comel tidak tenteram.” Mok memujuk anaknya.
“ Adik tanamkan Comel di sudut belakang rumah kita okey? Adik doakan Comel ya sayang. Tak baik menangis macam ni” pujuk Mok lagi.
 “Adik sayang Comel, ayah. Kenapa Comel lari. Comel tak sayang adik ke ayah. Comel nak lari tinggalkan Adik.” Adik teresak-esak.
“ Ayah dan Mak pun sayangkan Comel. Tapi ayah dan mak lebih sayangkan Adik. Jika Adik macam ni Adik boleh sakit. Roh Comel tentu tak  tenang nanti, sayang.” Mok masih memujuk anaknya.
“ Tapi ayah, badan Comel hancur, ayah. Macam mana Adik nak mandikan dia dan tanam dia” jawab Adik masih bersedih.
“Tak perlu mandikan sayang. Kita tanam dan doakan untuk Comel ni je sayang. Sayang bawa Comel ke belakang rumah. Nanti kita tanam dia ye sayang.” Mok memujuk Adik.
Adik terus mengangkat badan Comel yang masih elok manakala ayahnya mengutip cebisan yang tinggal dan membalutkannya dengan sehelai kain. Kemudian mereka menanamnya di belakang rumah mereka.

Setiap hari Adik akan ke tempat Comel di kebumikan dan belajar di sana. Sehingga suatu hari Adik mimpikan Comel sedang bermain dengan keluarganya. Comel kelihatan sungguh gembira. Comel datang kepada Adik dan menggesel badannya di kaki adik seolah-olah mengajak Adik bermain bersama. Adik sungguh seronok bermain dengan Comel dan keluarganya. Apabila Adik bangun dari tidur, tahulah Adik yang Comel hidup gembira di alam sana. Adik juga ingin teruskan hidup dan bergembira seperti Comel. Sejak dari hari itu, Adik semakin maju di dalam pelajarannya dan menjadi pelajar contoh di sekolahnya. Manakala ibu bapanya gembira dengan perubahan baik anak mereka.

No comments:

Post a Comment