Tuesday, May 6, 2014

HENDAK SERIBU DAYA (sambungan)

Adakala kemiskinan mereka tidak mampu menggugat kebahagiaan mereka. Pak Abu mengucapkan syukur di sepanjang perjalanannya ke surau. Bibirnya sentiasa mengalunkan zikir. Teringat perbincangannya dengan Penghulu Idderis sebelum balik dari surau semalam.
“ Abu tunggu kejap. Aku ada perkara nak bincang dengan kau.” Penghulu Idderis memanggil Pak Abu ketika Pak Abu baru sahaja mahu menyarungkan selipar untuk pulang ke rumah.
“ Ya Penghulu. Perkara apa tu?” Pak Abu segera menyarungkan seliparnya dan terus mendapatkan Penghulu.
“Kau balik dengan aku la Abu. Banyak perkara aku nak bincang dengan kau ni. Moh naik kereta aku. Kita pergi mana-mana. Aku hantar kau pulang nanti.” Penghulu Idderis tidak mahu berlama disitu. Kawasan semakin lengang dan gelap. Pada fikirannya, lebih elok bincang di rumahnya atau di warung Pak Ali sahaja.
“Saya ikut sahaja kata Penghulu.” Pak Abu tidak membantah. Hormatnya pada Penguhu Idderis terlalu tinggi. Namun jauh di fikiran Pak Abu, terasa cuak memikirkan sekiranya dia sudah buat salah pada Penghulu Idderis sekeluarga. Pak Abu terus menaiki kereta kancil Penghulu Idderis. Mereka menuju ke warung Pak Ali.
“Lebih privacy..” kata Penghulu Idderis. “ Kau nak minum apa? Aku belanja.” Penghulu tersenyum melihat wajah segan Pak Abu. Pak Abu tidak pernah minum di warung. Keadaan kewangan keluarganya tidak mengizinkan Pak Abu membazir sebarangan.
“Apa-apa saja. Ikut Penghulu. Saya tak kisah. Saya tak pandai minum diluar sebenarnya.” Jujur Pak Abu. Sememangnya Pak Abu memang tidak reti minum diluar. Selain atas faktor kewangan, baginya tiada siapa dapat menandingi masakan dan minuman buatan isterinya.
“Pak Ali bagi teh tarik dua. Kuih apa yang ada malam-malam ni?” Penghulu Idderis membuat pesanan apabila Pak Ali datang untuk mengambil pesanan.
“Karipap dan ketayap je yang tinggal.”
“Hah bungkus kuih karipap dua ringgit dan seringgit. Kuih ketayap pun bungkus dua ringgit dan seringgit.” Penghulu Idderis memandang Pak Abu setelah selesai memesan makanan dan minuman. Lagi cepat berbincang lagi baik. “Macam ni Abu. Aku nak bincang tentang anak kau. Aku nak bincang kat rumah aku, si Razman ada di rumah. Nak bincang di rumah kau, Fatimah pula ada. Biarlah perkara ni aku bincang dengan kau terlebih dahulu.” Penghulu memulakan bicara.
“ Fatimah ada buat salah ke Penghulu?” Pak Abu terkejut apabila Penghulu Idderis ajak berbincang di warung mengenai anaknya. Masakan tidak, jika nak berbincang mengenai ikatan hubungan kenapa perlu bincang di warung? ‘Fatimah ada buat salahkah?’ Pak Abu tertanya-tanya. ‘Ah mungkin penghulu ni nak dengar pendapat aku terlebih dulu agaknya.’
“Kau jangan salah faham. Perkara ni dah lama aku bincang dengan Razman. Aku dah lama nak suarakan pada kau sekeluarga tapi aku rasa lebih baik aku berbincang dengan kau dulu dan kau sampaikanlah pada anak kau nanti. Kau bincang baik-baik perkara ini dengan Fatimah nanti ya?” Penghulu Idderis cuba menghalau kerisauan yang mula bermukim di hati Pak Abu.
“Perkara apa tu? Saya kurang faham, Penghulu.” Pak Abu tidak dapat meneka maksud Penghulu Idderis. Mungkinkah Fatimah sudah melakukan sesuatu diluar pengetahuannya? Itulah sangkaan Pak Abu.
“Kau tahu tak Fatimah kemana pada setiap malam?” Penghulu Idderis ingin menduga Pak Abu. Berkerut kening Pak Abu memikirkan soalan Penghulu Idderis. Sedikit sebanyak timbul rasa kecewa dihati memikirkan anaknya mungkin dah buat perkara tidak senonoh dibelakangnya.
“Katanya ke surau. Belajar mengaji dengan Ustaz Rahman. Ada apa-apa yang saya tidak tahu mengenai perbuatan anak saya itu ke Penghulu?” Soal Pak Abu dengan nada kecewa.
“Tidak. Dia memang pergi belajar tetapi belajarnya bukan agama sahaja. Dia nak melanjutkan pelajaran dengan mengambil peperiksaan secara bersendirian. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu bebankan kau dengan yuran sekolah. Semua ni Razman ceritakan pada aku.” Penghulu Idderis berhenti sejenak untuk melihat tindakbalas dari Pak Abu. “Aku tahu dia tidak berterus-terang kepada kau mungkin sebab risau kau marahkan dia. Aku tidak berniat nak masuk campur urusan anak-beranak kau. Cuma sebagai penghulu kampung, aku harap kau tidak sia-siakan harapan dan cita-cita anak kau tu. Dia ada beritahu Razman baru-baru ini yang kau dan Mah dah tak izinkan dia sambung belajar.” Sambung Penghulu Idderis setelah melihat Pak Abu terangguk tanda faham.
“Memang awal tahun dulu dia ada beritahu saya dia nak ambil peperiksaan secara bersendirian. Saya tidak tahu sampai tahap ini Fatimah sanggup merahsiakan pelajarannya dari saya gara-gara takut saya marah dia. Saya bukan tidak mahu dia ambil peperiksaan tu. Cuma, dimana saya mahu cari duit untuk menampung pembelajaran dia tu. Anak saya bukan seorang dua. Dua belas orang, Penghulu.” Timbul rasa kesal dihati tuanya apabila Fatimah sanggup merahsiakan pembelajarannya. Malah orang lain lebih tahu dari dirinya. Bukan Pak Abu kesal dikurniakan anak yang ramai. Pak Abu tahu ada hikmah disebaliknya. Anak itu rezeki. Pak Abu yakin akan hakikat itu.
“Kau jangan risau. Yang sebenarnya, awal tahun hari tu, Fatimah ada datang jumpa aku. Dia nak minta kerja untuk cari duit bayar peperiksaan dia. Aku tak bagi sebab Fatimah tidak dapatkan keizinan dari kau.” Penghulu Idderis berhenti sejenak melihat reaksi Pak Abu. Terlihat riak terkejut disebalik ketenangan di wajah tua Pak Abu. “Tapi aku ada tanya dia perihal perasaan dia terhadap Razman. Bila ditanya, dia tidak menjawab. Hanya tersenyum. Sejak dari hari tu, aku terfikir untuk buat satu keputusan. Aku nak tolong Fatimah tapi pertolongan aku bersyarat.” Sambung Penghulu Idderis.
“Saya kecewa. Saya langsung tidak tahu menahu perihal ini. Hurm..” Pak Abu mengeluh.
“Cuba kau fikir jika dia beritahu kau. Adakah kau akan memberi keizinan pada dia? Cita-cita dia tinggi. Niat dia baik. Untuk mengubah nasib keluarga dan memberi contoh yang terbaik buat adik-adik yang masih kecil. Walaupun dia sudah berhenti sekolah, sekurang-kurangnya dia menunjukkan minat untuk terus berjaya. Anak aku si Razman mula rajin belajar pun kerana Fatimah. Semangat yang Fatimah tunjukkan itu membuatkan Razman berfikir bahawa pelajaran amat penting buat masa depan. Aku berbudi pada Fatimah kerana dia yang sering mengajak Razman belajar. Bukan sebaliknya.” Penuh teratur ayat Penghulu agar tidak terkeluar ayat yang boleh mengguris hati Pak Abu. “Aku yakin Fatimah mampu berjaya. Jadi aku sanggup tolong Fatimah untuk mencapai cita-citanya. Cuma... Aku nak letakkan syarat.” Penghulu menghabiskan ayatnya. Risau dikatakan dia tidak ikhlas untuk membantu Fatimah.
“Apa syaratnya, Penghulu. Saya tidak mampu pulangkan semula duit Penghulu nanti. Nak makan pun saya fikir banyak kali memikirkan banyak mulut nak makan kat rumah tu.” Pak Abu berat hati ingin menerima pertolongan Penghulu Idderis. Lebih-lebih lagi Penghulu Idderis ingin mengenakan syarat.
“Aku sebenarnya dah lama berkenan dengan Fatimah tu.” Penghulu Idderis berhenti sejenak apabila makanan dan minuman yang dipesan sampai. Agak lambat makanan yang dipesan sampai. Terlalu ramai pelanggan dikedai Pak Ali malam itu. Tidak macam hari-hari sebelum ini. Entah dari mana datangnya orang ramai itu pun, dia tidak tahu.
“Penghulu, saya kurang faham dengan syarat yang ingin dikenakan oleh penghulu. Adakah maksud Penghulu, Penghulu mahu mempeisterikan Fatimah? Saya bukannya tidak mahu terima tapi... Hurm.. Saya cuma tidak mahu nanti ada berantakan dalam rumahtangga Penghulu dan Fatimah dituduh yang bukan-bukan. Lagi-lagi Razman dan Fatimah tu kan sebaya.” Pak Abu sudah memikirkan yang bukan-bukan. Namun kata-kata Pak Abu disahut dengan ketawa. Pak Abu hairan melihat Penghulu Idderis ketawa sehingga keluar air mata.
“Kau dah salah faham ni. Kau gila nak aku kahwin dengan Fatimah? Fatimah tu dah macam anak aku. Aku nak jadikan dia menantu aku. Itu sahaja syarat aku. Aku nampak Fatimah itu mampu bantu Razman berubah menjadi orang yang lebih baik. Jika kau tidak sudi Razman menjadi menantu kau, aku tak boleh kata apa. Cuma aku harap dengan bantuan aku ni, aku dapat ikat Fatimah. Sekadar ikat syarat je.” Penghulu Idderis menerangkan status yang sebenar. Pak Abu kelihatan serba salah.
“Saya bukan tidak mahu Razman menjadi menantu saya tetapi saya kena tanya Fatimah sendiri.” Pak Abu serba-salah. Risau juga dikatakan mengambil kesempatan atas kebaikan Penghulu Idderis.
“Tidak mengapalah. Aku bukan suruh kau jawab sekarang. Kau fikirlah masak-masak. Aku tahu Fatimah dan Razman tu suka sama suka. Aku nak booking Fatimah itu untuk anak aku. Itu sahaja. Sebab tu aku tak nak buat secara adat dulu. Sekadar nak minta kau fikir dulu. Budak-budak tu masih muda. Zaman sekarang tak macam zaman kita. Jadi aku fikir elok dia orang fikir tentang masa depan dulu dan dalam masa yang sama aku nak booking anak kau untuk Razman tu.” Terang Penghulu Idderis panjng lebar. Memang agak kurang sopan kerana tidak mengikut adat tetapi niat awal Penghulu idderis mahu membantu Fatimah untuk meneruskan pembelajarannya. Maka disebabkan itu perbincangan itu tidak dibawa ke rumah terlebih dahulu. Berseloroh begitu sahaja.
“Nanti saya bincang dengan Fatimah terlebih dahulu.” Hanya itu yang mampu Pak Abu jawab. Pak Abu tidak mahu berfikir yang tidak-tidak mengenai Penghulu Idderis kerana perbincangan penyatuan dua jiwa tidak dilakukan mengikut adat. Mungkin juga perbincangan macam ini mampu membuatkan dia berfikir dahulu sebelum membuat keputusan.
“Aku bukan tidak ikhlas nak bantu anak kau. Aku cuma nak lihat Fatimah berjaya dan seterusnya menjadi menantu aku. Aku kalau boleh tak nak orang lain menjadi isteri Razman. Itu sahaja. Nah kuih ni untuk anak bini kau. Ambillah. Aku ikhlas.” Penghulu menghulurkan kuih karipap dan ketayap yang di bungkus dua ringgit. Yang di bungkus seringgit, Penghulu Idderis bawa pulang untuk keluarganya. Setelah selesai membayar harga makan minum, Penghulu Idderis menghantar Pak Abu pulang sebelum Penghulu Idderis pulang ke rumahnya.
“Eh kenapa termenung ni?” Pak Abu terkejut apabila disoal Imam Malik.
“Tak ada apa-apa Imam. Saya teringat anak-anak di rumah. Ha ni ada saya bawa pulut kuning sedikit untuk jemaah surau. Sebagai tanda syukur saya atas kejayaan anak-anak saya. Berkat usaha mereka dan dengan keizinan Allah, semua anak-anak saya dapat keputusan yang cemerlang dan layak mendapat biasiswa dari sekolah.” Pak Abu menyerahkan pulut kuning kepada Pak Imam.
“Alhamdulillah... Kesusahan tidak menyekat anak-anak kamu untuk berjaya, Abu. Saya juga tumpang gembira.diatas kejayaan anak-anak kamu.” Imam Malik mengucapkan tahniah kepada Pak Abu. Malam itu, bacaan Yasin berkumandang di surau bagi mengadakan majlis kesyukuran buat keluarga Pak Abu.
****
“Woi Timah kau sedarlah sikit. Kau tu hanya orang miskin. Kau tak layak terima bantuan dari keluarga Razman. Nak ambil SPM pun mengharap belas orang. Tak malu ke? Hahaha..” Suatu petang Fatimah di kejutkan dengan sindiran Munah. Dia tidak menjangka dia menerima sergahan yang terlalu menjengkelkan dari Munah. Seingatnya Munah dan dia tidak pernah bermusuh sebelum ini. Mereka sahabat baik dan selalu menghabiskan masa bersama.
“Munah ni kenapa? Apa salah Timah sampai Munah sanggup cakap macam ni dengan Timah?” Timah terasa terkilan dengan sindiran Munah.
“Kau sedarlah sikit Timah. Kau tak layak untuk Razman. Dia hanya simpati dengan kau. Bukan suka dengan kau pun. Tak padan dengan miskin, ada hati nak jadi menantu penghulu.” Munah sengaja menambah kekeruhan antara mereka.
‘Fatimah baik kau jangan layan. Biarkan dia. Jangan dilayan. Hanya buang masa kau je. Lagi kau layan, lagi menjadi-jadi nanti.’ Fatimah memujuk diri-sendiri. Fatimah terus berlalu dari situ. Semua ni hanya halangan kecil pada dia untuk berjaya. Perkara-perkara begini memang sudah dijangkanya.
Masa terus berlalu. Dari hari beralih ke minggu. Dari minggu bertukar ke bulan dan kini tiba masa untuk menduduki Peperiksaan Sijil Malaysia. Pada hari pertama, Fatimah benar-benar rasa gemuruh. Teramat-amat perit baginya apabila semua kawan-kawan tidak mahu membantunya. Nak harapka Azim, adiknya itu keluar ke sekolah lebih awal. Sebagai pengawas, Azim perlu berdedikasi dan perlu sampai lebih awal dari pelajar biasa. Jika Fatimah pergi bersama Azim, apa yang dia mahu buat disekolah awal-awal begitu? Silap Fatimah lupa bertanya kepada Azim dimana tempat dewan peperiksaannya. Kawan-kawannya membuatnya seperti tidak wujud disitu. Semua kerana Munah sudah sebarkan fitnah keatasnya. Tiada siapa sudi membantu. Fatimah cuba bertanya kepada pak guard dimana dewan peperiksaannya. Namun pak guard bangla itu tidak berapa faham bahasa melayu. Mahu ke bilik guru, dia tidak dibenarkan masuk.
“Eh Fatimah. Kamu buat apa di sini?” Tiba-tiba Fatimah ditegur oleh cikgu kesayangan dia dulu, Cikgu Salmi.
“Saya nak ambil peperiksaan cikgu. Saya tidak tahu dimana dewan saya. Lagi 10 minit peperiksaan dah nak mula. Saya dah cuba cari Azim tetapi tak jumpa.” Fatimah sedih kerana tiada  seorang pun kawannya mahu bantunya. Bertakung air matanya apabila memikirkan peperiksaan yang akan bermula tak lama lagi tanpanya. Cikgu Salmah menyemak kelas pelajar SPM.
“Awak masuk kelas 5A. Mari saya tunjuk kelas awak.” Cikgu Salmah tidak mahu Fatimah terlepas peperiksaannya. Sampai sahaja di kelas Fatimah ternampak Munah mencebiknya. Rupanya dia diletakkan sekelas dengan Munah.
“Terima kasih cikgu. Cikgu doakan saya berjaya. Saya minta maaf jika pernah melukakan hati cikgu. Ampunkan segala salah silap saya dan dimohon halalkan makan minum saya, cikgu.” Fatimah memohon berkat cikgu kesayangannya.
“Cikgu maafkan dan halalkan segalanya. Dah kamu dah lambat. Pergi masuk cepat.” Cikgu Salmah gesa Fatimah. Lagi sepuluh minit peperiksaan akan dimulakan. Jika lambat, Fatimah tidak akan dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan.
Hampir sebulan berlalu, kini peperiksaan SPM sudah pun sampai ke penghujung. Fatimah mengambil 15 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Sejarah, Ekonomi, Prinsip Perakaunan, Tasawwur Islam, Pendidikan Seni, Matematik Tambahan, Sastera Melayu, Ekonomi Rumah Tangga, Geografi dan Perdagangan. Fatimah telah menjawab peperiksaan dengan senang hati dan yakin. Fatimah melangkah dengan tenang menuju ke arah Azim dan Razman yang setia menantinya untuk pulang bersama setiap kali habis peperiksaan.
Last paper Along macam mana? Azim tengok Along senyum je.. Senang ke?” Soal Azim hairan. Mana tidaknya, setiap kali habis peperiksaan, kakaknya tidak pernah menunjukkan muka cemberut. Sentiasa tenang dan tersenyum.
“Adalah susah sikit. Along dah berusaha sebaik mungkin. Jadi, Along berserah sepenuhnya pada Allah sekarang.” Jawab Fatimah penuh dengan keyakinan. Memang begitu sikap Fatimah setiap kali menjalani peperiksaan. Sejak dibangku sekolah lagi, Fatimah tidak pernah gusar dengan peperiksaan. Yang penting baginya, berusaha dan kemudian tawakal banyak-banyak.
Sepanjang cuti sekolah, Fatimah membuat keputusan ingin berniaga. Fatimah perlu mencari duit untuk menyambung pengajiannya. Fatimah tidak mahu berhenti ke tahap itu sahaja. Fatimah dan Azim menjual nasi lemak kukus. Seawal 3.30 pagi, Fatimah sudah bangun untuk menyiapkan nasi lemak. Kemudian nasi lemak itu akan dihantar ke warung Pak Ali dan selebihnya akan dijaja oleh Azim dari rumah ke rumah. Razman merupakan pelanggan tetap mereka. Razman juga sering menghebahkan keenakan nasi lemak kukus yang dibuat Fatimah kepada kawan-kawannya. Berkat usaha mereka berdua, dari permulaan menjual hanya dua puluh lima bungkus nasi lemak, kini meningkat sedikit demi sedikit menjadi lebih seratus bungkus sehari. Ramai penduduk kampung membuat tempahan daripada mereka termasuklah untuk diletakkan dalam kenduri. Pendapatan yang diperolehi diagihkan sedikit kepada emak dan bapaknya buat perbelanjaan dapur dan selebihnya diagihkan untuk disimpan dan dibuat modal semula. Pak Abu dan Mak Mah begitu bangga dengan kesungguhan anak-anaknya dalam ingin mencapai kejayaan.
Beberapa bulan sudah pun berlalu. Kini keputusan peperiksaan sudah dikeluarkan. Fatimah, Azim dan Razman berjalan menuju ke sekolah bersama-sama.
“Timah, kau rasa aku dapat berapa ya? Aku risaulah. Kata ayah aku, jika aku gagal, ayah aku tak nak tunangkan aku dengan kau.” Razman terasa sedih setiap kali teringatkan kata-kata ayahnya.
“Kau kalau belajar sebab nak tunang dengan aku. Niat kau dah salah tau. Macam manapun, aku yakin kau akan berjaya. Kitakan saling membantu.” Fatimah cuba menyenangkan hati sahabatnya. Jauh di sudut hati, terdetik sedikit kebimbangan sekiranya dia dan Razman tidak jadi ditunangkan. Namun cepat-cepat ditepis perasaan itu apabila teringatkan kesungguhan Razman ingin berjaya bersamanya. Mereka saling membantu dalam pelajaran.
Masih teringat pada malam Munah buat onar di pondok surau, malam itu mereka tidak dapat belajar kerana terpaksa mendengar ceramah dan amaran dari Imam Malik dan Ustaz Rahman. Sebelum balik, Razman telah meminjamkan buku sekolahnya kepada Fatimah untuk memudahkan gadis itu mengulangkaji pelajaran. Sempat Razman menyelitkan nota kecil dicelah-celah buku nota tersebut.

Buku ini, Man pinjamkan dulu pada Timah. Ulangkaji baik-baik. Salin apa yang patut dan jangan lupa pulangkan semula buku nota dan latihan ini ya. Buku rujukan ini, Timah boleh ambil terus. Banyak format peperiksaan yang aku dah tuliskan dalam buku rujukan ni. Ambillah, buat panduan. Kita sama-sama mendaki bukit. Biar susah tidak mengapa asalkan kita tidak putus asa untuk berjaya. Senyum selalu..
P/S: maaf tulisan aku tak secantik tulisan Timah. Mana-mana yang tidak dapat dibaca, kita bincangkan pada esok hari. S.M.I.L.E – Razman
“Along termenung sambil senyum-senyum ni kenapa? Haaaa.... Dah tak sabar nak kahwin dengan abang Man ye?” Razman disebelah Fatimah senyum kelucuan mendengar kata-kata Azim.
“Along kau ni Zim, kalau katak tengok langsung lari. Mahu taknya, senyum macam tu sambil berjalan. Seram aku tengok. Hahahaha...” Azim tergelak mendengar kata-kata Razman. Fatimah bagai baru tersedar dirinya dikata, menoleh memandang mereka yang sudah ketawa terbahak-bahak. Fatimah mengejar pura-pura ingin memukul Azim dan Razman bagi menutup malunya. Kemesraan mereka bertiga diperhatikan oleh sepasang mata dengan pandangan yang menjelikkan. Sampai sahaja di sekolah, mereka termengah-mengah seperti baru lepas dikejar anjing gila. Badan Azim dan Razman terasa sakit-sakit akibat dipukul Fatimah.
“Laju betul kakak kau tu lari, Zim. Semput aku.” Razman melepaskan lelah ditepi kantin.
“Dia tu jaguh larian sekolah sebelum dia berhenti. Memanglah laju. Aduh sakit tangan Azim. Cepat betul tangan dia pulas tangan Azim.” Azim menunjukkan bekas dicubit Fatimah pada Razman. Razman mengetawakannya. Mujurlah dia hanya dipukul sikit pada badan. Dasyat juga Fatimah ni.
“Nah air. Lain kali, ejek la orang lagi. Haaa.. Kan dah sakit. Hehehe.. Dah la aku dah tak sabar-sabar nak tengok keputusan aku.” Fatimah menghulurkan air pada Azim dan Razman. Manis senyuman diwajahnya kerana dapat memukul dan mencubit mereka berdua. Tiada garis-garis penat mahupun setitis peluh diwajah putih bersih Fatimah.
“Timah, kau tak penat ke? Duduklah dulu.” Razman menggamit Fatimah duduk bersama mereka dulu.
“Hah cepat sikit okey. Aku dah tak sabar-sabar ni.” Fatimah menggesa.
“Hish nasib baik aku sayang. Sabar aja... Aduh!” Razman dicubit Fatimah sebelum sempat menghabiskan ayatnya.
“Jangan banyak cakap. Cepatlah.” Fatimah benar-benar tidak sabar untuk mengetahui keputusannya.
“Eh bukan ke keputusan kau akan di pos terus ke rumah?” Razman tiba-tiba teringat yang Fatimah mengambil peperiksaan secara bersendirian.
“Haah la long. Along punya keputusan memang akan dihantar ke rumah.” Azim juga mengiyakan. Serta-merta riak muka Fatimah berumah menjadi kemerah-merahan. Fatimah yang terlalu beriya-iya hingga terlupa akan perkata sekecil itu. Malu! Hanya itu yang bermain dibenaknya sekarang.
“Dah jomlah. Aku nak tengok keputusan aku dan Azim.” Razman memecah kesunyian.
“Jom..” Azim menarik tangan Fatimah yang sudah kelihatan malu untuk berganjak dari tempat duduknya.

Keputusan yang Azim dan Razman perolehi amat memberansangkan. Mereka pulang ke rumah dengan perasaan yang berkobar-kobar kerana tidak sabar ingin menunjukkan keputusan kepada kedua ibu bapa mereka. Antara mereka bertiga, Fatimah kurang merasa seronok kerana belum mengetahui keputusannya. Sampai sahaja di rumah, bapak dan emak menyambut Fatimah dengan pelukan yang erat. Fatimah terpinga-pinga. Rupa-rupanya bapak dan emak terlebih dahulu melihat keputusannya yang sudah di pos ke rumah. Fatimah sudah berjaya dan menanti janji-janjinya yang bakal dikotakan. Apa yang pasti impiannya bakal menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment