Tuesday, May 6, 2014

HENDAK SERIBU DAYA


1999
Di sebuah kampung pedalaman, iaitu kampung Hujan Rahmat. Hidup sebuah keluarga miskin yang hanya menyara hidup Pak Abu dan Mak Mah berlandaskan ihsan upah kerja di rumah, ladang-ladang dan kebun-kebun orang. Mereka perlu bekerja keras mencari rezeki selagi ada kudrat kerana mereka mempunyai 12 orang anak yang perlu disekolahkan. Pak Abu menoreh di ladang getah milik Penghulu Idderis seluas 3 ekar dan di ladang getah Pak Deraman seluas 2 ekar. Manakala Mak Mah mengambil upah basuh baju di rumah-rumah jiran yang sudi mengupah Mak Mah. Sebelah petang, Mak Mah dan Pak Abu perlu ke kebun milik Penghulu dan Pak Seman seluas 6 ekar untuk menyiram tanaman, memetik hasil, menanam benih dan menjaga dari kemasukan binatang perosak.
Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pak Abu  dan Mak Mah merupakan sepasang suami isteri yang cekal dan tabah dalam menghadapi kesusahan hidup. Mereka sentiasa berdoa agar hidup anak-anak mereka mempunyai hidup yang lebih baik daripada mereka.
Fatimah merupakan anak sulung daripada 12 orang anak. Fatimah seorang anak yang bertanggungjawab. Dia sanggup berhenti sekolah untuk memberi peluang untuk adik-adiknya belajar. Namun Fatimah mempunyai cita-cita sendiri yang dipendam sekian lama.
“ Woi Timah kau buat apa tu? ” Suatu petang Razman, anak penghulu menegur Fatimah ketika Fatimah sedang sibuk menyapu halaman rumah.
 “ Man kau tak pergi sekolah ke? Aku tengah main bola. Kau tak nampak eh? ” Gurau Fatimah.
“ Hah aku ponteng. Lari dari sekolah sebab rindukan kau. Eh aku ingat kau tengah berlatih tunggang penyapu. Berangan nak jadi awek Harry Potter. Hahaha...” Razman berseloroh tak mahu kalah. ‘Mengarut betul minah ni. Dah senja sekolah apa? Hahaha..’ Razman ketawa dalam hati.
“ Eh banyak buruk loyar kau eh. Bila nak study lagi? ” Fatimah mengubah tajuk perbualan.
“ Hah malam ni kau datang kat tempat biasa. Eh mak kau tak marah ke? Dah bagitahu mak bapak kau?” Soal Razman dengan nada yang sedikit risau.
“Aku belum bagitahu lagi. Nanti aku bagitahu. Aku cuma risau mereka tak setuju.” Fatimah mengeluh.
“ Kau bincang la dengan diorang dulu. Apa-apa nanti aku akan minta ayah aku backup kau. Aku yakin kau mampu. Kau gadis paling cantik dan paling pandai kat kampung kita. Kau student terbaik kat sekolah kita dulu. Cikgu pun sayang kau tau. Tup-tup kau berhenti. Ha kan dah rugi.” Razman cuba memberi galakan sambil bergurau.
“ Nantilah. Aku bukannya apa. Aku Cuma risau bapak aku tolak sebab duit.” Dalam segan, Fatimah memberitahu kegusaran di hati dia yang sebenar.
“ SPM dah dekat. Jangan lambat-lambat. Pasal duit, aku dah bincang dengan ayah aku.” Razman cuba beri semangat kepada sahabat dia. Razman juga senyum penuh makna apabila teringat perbincangan dia dan bapanya malam tadi.
“ Yelah. Esok pagi aku cuba bagitahu bapak aku. Apa-apa nanti aku akan bagitahu kau.” Fatimah mengalah. Tiba-tiba mata Fatimah buntang melihat Razman. Pantas tangannya mengetuk kepala Razman dengan tangkai penyapu. “ Oi Razman, kau tersenyum-senyum kenapa?” Fatimah hairan melihat Razman tersenyum-senyum merenungnya..
“Aduh! Kasarlah Tuan Puteri ni. Bergurau pun tak boleh. Hamba akan menunggu kabar berita dari Tuan Puteri. Malam ini kita jumpa di tempat biasa ya Puteri Fatimah.” Razman sempat berjenaka.
Adakala Fatimah gemuruh apabila Razman tersenyum memandangnya. Fatimah sanggup mengetuk kepala Razman melihat Razman mengaduh dari melihat dia tersenyum begitu. Boleh tergugat iman Fatimah dibuatnya. Sedang mereka rancak berborak, Fatimah terdengar emaknya memanggil namanya.
“Baiklah Tuan Hamba. Beta akan menyusul malam ini. Beta undur diri dahulu. Bonda Beta sudah memanggil Beta. Assalamualaikum..” Fatimah terus tersenyum sambil berlalu.
“Waalaikumussalam Tuan Puteri” Balas Razman membalas senyum Fatimah. Senyuman itulah yang telah memikat hati Razman dalam diam. Razman tidak penah menyuarakannya kerana bimbang Fatimah menolak cintanya. Lagipun Razman mahu Fatimah berjaya bersamanya. Tanpa mereka sedari ada seseorang sedang memerhati mereka dengan pandangan yang menjelikkan.
Mak Mah hairan melihat Fatimah tersenyum-senyum selepas menyapu halaman rumah. Sejak akhir-akhir ni Mak Mah perasan perubahan sikap Fatimah. Dia kerap memerap didalam bilik. Sekejap senyum sekejap lagi dia serius. Apabila difikirkan seolah-olah dia sedang di lamun cinta pun ada. ‘Eloklah dia berkahwin jika dia dah bersedia untuk berumahtangga.’ Fikir Mak Mah sendirian.
“Kenapa Timah tak henti-henti senyum dari tadi? Timah tengah bercinta ke? Eloklah jika Timah dah ada pilihan sendiri. Mak akan terima pilihan Timah asalkan budak tu baik-baik saja. Mak dulu baya kau, mak dah timang kau. Masuk saja umur mak 16 tahun, ayah kau masuk minang mak. Hari ni tunang, esok nikah. Benda baik tak elok dibiar lama-lama. ” Mak Mah bercerita tanpa dipinta. Baginya eloklah jika anaknya berkahwin. Cuma biarlah bakal suaminya mampu tanggung makan minum anaknya itu. Mak Mah yakin Fatimah mampu menjadi isteri yang baik. Kata-kata  Mak Mah mengejutkan Fatimah.
“Taklah mak. Razman datang tadi. Dia ajak ikut dia dan kawan-kawan pergi pondok surau malam ni. Boleh Timah pergi mak?” Fatimah menjelaskan dan mengambil kesempatan meminta izin untuk keluar malam itu.
“ Kau ni dah selalu sangat keluar malam. Tak manis di pandang orang. Razman tu lelaki. Anak penghulu kampung pula tu. Nanti apa pula kata penghulu Idderis jika kerap kau keluar dengan anak bujang dia tu.” Mak Mah menyampaikan rasa kurang senangnya.
“Timah pergi surau ada Ustaz Rahman sekali mak. Timah tidak sendirian dengan Razman dan Ustaz Rahman. Aina, Munah, Alia, Azim, Aiman dan Alif pun ada mak. Dia orang memang ikut Timah.” Fatimah berusaha meyakinkan emaknya dengan memberitahu kawan-kawan dan adik-adiknya juga turut serta dalam ‘majlis agama’ tersebut. Azim adalah adik pertama Fatimah. Azim lahir pada tahun yang sama dengan Fatimah. Iaitu pada akhir tahun. Manakala Fatimah lahir pada awal tahun. Aiman dan Alif pula adik nombor kedua dan ketiga. Mereka dilahirkan kembar. ‘Moga-moga terbuka hati mak dan bapak untuk aku pergi belajar malam ni’ Doa Fatimah didalam hati. Fatimah tidak mahu tertinggal pelajaran walaupun sehari.
“Adik kau tu tiap-tiap malam dia ikut kau la ya? Mak fikir dia keluar lepak dengan kawan-kawan. Baguslah dia ikut kau pergi berceramah dengan ustaz tu.” Mak Mah mengizinkan. Namun Mak Mah belum tahu niat sebenar Fatimah keluar setiap malam. Fatimah mengangguk dan terus masuk ke dalam bilik.
‘Maafkan Timah mak.. Timah tak tahu bagaimana mahu berterus-terang dengan mak dan bapak. Hurmm..’ keluh Timah dalam hati. Fatimah mengambil buku ekonomi dan menyelak sehelai demi sehelai namun tiada satu pun dapat masuk dalam kepalanya. Dia terus menutup buku tersebut dan memikirkan cara untuk berterus-terang dengan mak bapaknya tentang dia nak mengambil peperiksaan SPM secara bersendirian. Kesusahan hidupnya pasti menjadi alasan untuk Mak Mah dan Pak Abu menolak hasratnya itu. ‘Ya Allah bantulah hamba-Mu ini.’ Doa Fatimah di dalam hati.
Malam itu seperti biasa Fatimah, Azim, Aiman dan Alif meredah hutan untuk ke pondok surau. Ustaz Rahman dan Imam Malik mendirikan pondok disebelah surau untuk memudahkan anak-anak belia melakukan aktiviti berfaedah disitu. Mereka tidak menyedari ada orang menyaingi langkah mereka secara perlahan dari belakang. Namun selepas 5 minit berjalan, Azim terasa bahunya disentuh seseorang. Pantas Azim menoleh kebelakang. Berderau darahnya apabila melihat dua orang lelaki bertopeng. Azim menyuruh kakak dan adiknya lari ke surau namun belum sempat mereka membuka langkah, tangan Fatimah ditarik kasar oleh salah seorang lelaki bertopeng. Lehernya diacu pisau. Fatimah teringat pesan Ustaz Rahman jika berada di dalam bahaya, jangan bertindak melulu. Bertenang dan baru bertindak. Fatimah mulakan bacaan Al-Fatihah dalam diam dan mulakan langkah silat yang diajar oleh bapaknya pada tiap-tiap lewat malam. Adik-adiknya turut membantu.
“Kau siapa hah? Apa kau nak?!” Azim hampir hilang pertimbangan apabila kakaknya diperlaku begitu. Teruk dua budak itu dibelasah mereka berempat.
“Maafkan aku.. Maafkan aku..” Jawab salah seorang lelaki itu. Pantas Aiman dan Alif membuka topeng lelaki itu.
“ Budin? Botak? Kenapa kau buat macam ni?” Fatimah terkejut melihat kawannya.
“Aku cemburu tengok kau rapat dengan Razman. Aku minta maaf Timah. Lagipun bukan aku yang rancang semua ni.” Budin cuba mempertahankan diri. Botak ketakutan. Botak hanyalah orang suruhan Budin untuk melambat-lambatkan perjalanan mereka berempat. Azim memaksa Budin menceritakan hal sebenar. Budin beritahu Munah juga salah seorang perancang agenda tersebut agar dapat berdua-duaan dengan Razman di pondok surau sebelum Ustaz Rahman tiba.
“Astaghfirullahal’azim..” Tanpa membuang masa Fatimah dan adik-adiknya berlari ke surau. Maruah penghulu perlu dijaga. Sampai sahaja di surau, surau dan pondok kelihatan gelap-gelita. Fatimah menyuruh Azim dan Aiman masuk dahulu. Mereka masuk dengan bacaan Bismillah. ‘Moga-moga Allah melindungi mereka dari jelmaan jembalang yang sering menyerupai manusia. Amin....’ Azim berdoa dalam hati. Keadaan terlalu gelap hingga Azim terlanggar bucu meja. Spontan Azim mengaduh. Sementara Aiman mencari suiz lampu.
“Aaaaarrrrggghhhhhhh!!! Ya Allah.. Tolong aku! Hantuuuuu tepung gomak!!!!!!!” Azim terjerit apabila terasa seseorang memeluknya dari belakang.
“Janganlah menjerit sayang..” Azim terdengar suara manja perempuan. Meremang bulu romanya yang disangka itu adalah suara hantu. Azim bermandi peluh dan beristighfar berkali-kali untuk mendapatkan kekuatan. Lantas dia pusingkan badan dan spontan tangannya dihayunkan. “Pangggggg!!!” Tepat di pipi hantu tersebut. Tiba-tiba hantu itu menangis dengan kuat. Peluh Azim makin bertambah. ‘Macam mana hantu boleh kena tampar dengan aku ni?’ Walau didalam ketakutan, Azim sempat bermonolog lucu didalam hati.
Tidak lama kemudian lampu pondok pun dinyalakan oleh Aiman. Kini jelas dimata Azim hantu itu adalah Munah. Lebih mengejutkan Munah berpakaian kurang sopan dan terdapat kesan koyak di bajunya. Munah terkejut dan menangis teresak-esak. Dia benar-benar malu. Lebih memalukan kejadian tersebut di saksikan sendiri oleh Ustaz Rahman, Imam Malik dan Penghhulu Idderis. Ustaz Rahman terlalu marah pada malam itu.  Ustaz menyuruh Munah memakai telekung surau bagi menutup auratnya yang terdedah.
“ Kau sengaja koyakkan baju kau ke Munah? Aku jelik dengan perangai kau. Sungguh memalukan. Nasib baik bukan aku yang masuk tadi. Sempat ditahan Fatimah.” Razman meradang dengan sikap Munah yang tak tahu malu. Padanya sikap Munah hanya akan memalukan nama baik kampung mereka. Seterusnya pastilah nama baik ayahnya juga akan busuk dek perangai tak tahu malu Munah. “ Lagi satu aku nak ingatkan kat kau. Aku TAK SUKA pada kau. Faham?” Razman menyambung kata-kata dia tadi. Sengaja ditekankan perkataan ‘tak suka’.
 Munah menangis teresak-esak selepas mendengar kata-kata Razman. Malam itu mereka tidak belajar seperti biasa. Panjang ceramah dan nasihat yang Ustaz Rahman dan Imam Malik sampaikan. Munah diberi amaran keras. Perkara itu akan disampaikan kepada ibu bapa Munah selepas Imam Malik dan Ustaz Rahman menghantar Munah pulang ke rumah nanti. Mereka diminta tutup cerita dan tiada siapa dibenarkan sebarkan cerita tersebut bagi mengelakkan keluarga Munah diaib. Setelah semua akur, mereka diarah pulang ke rumah. Fatimah pulang dengan hampa kerana pulang tanpa ilmu yang baru.
“Timah! Aku ada benda nak bagi kau.” Tiba-tiba Razman menghulurkan beg kertas.
“Apa benda ni? Tak payah la Man. Aku takut dapat fitnah jika terima barang dari kau. Lagi-lagi Munah tu suka kau. Tak mahu aku bermusuh dengan dia nanti.” Fatimah menolak pemberian tersebut dengan perasaan yang agak kecewa kerana memikirkan kejadian tadi.
“Ah! Aku tak pernah suka dia pun. Kau cemburu ya?” Soal Razman ingin bergurau.
“Tak lah. Untuk apa aku cemburu? Mana barang tadi? Aku nak tengok dulu baru aku ambil.” Fatimah cuba menutup malunya. ‘Nasib baik malam. Kalau tak  mesti dia nampak muka aku merah’ Fatimah bercanda didalam hati. Razman tersenyum  melihat telatah Fatimah. Setelah melihat isi beg kertas itu Fatimah tersenyum lebar hingga adik-adiknya hairan melihat senyuman kakaknya mengalahkan mulut badut.
Thanks Man. Kau banyak tolong aku.” Fatimah benar-benar gembira.
You are welcome.. Apa saja untuk tuan puteriku.. Eh ayah ajak tumpang sekali. Jomlah. Dah malam sangat ni.” Razman menarik Aiman dan Alif menuju ke kereta ayahnya. Fatimah dan Azmi tiada pilihan lain hanya itulah jalan yang dirasakannya paling selamat pada lewat malam ni. Badan mereka letih untuk melawan apa-apa bahaya yang menanti. Perihal Budin dan Botak tidak dibuka atas permintaan Fatimah.
****
Lebih seminggu Fatimah memikirkan bagaimana nak berterus-terang pada kedua orang tuanya. ‘Kejap lagi adik-adik balik ke sekolah. Pasti mereka lapar. Baik aku masak. Unung-untung dapat ambil hati mak bapak.’ Fatimah bermonolog sendirian.
 Ketika emak dan ayah sedang bergurau diruang tamu, Fatimah terus menyediakan masakan untuk makan petang. Makanan mereka tidak mewah seperti kebanyakan orang. Hanya ubi yang penghulu sedekah pada mereka kelmarin. Mereka berjimat seadanya. Beras yang penghulu Idderis sedekah pada mereka semalam, mereka perlu simpan untuk tengah hari esok. Biasanya makanan berat hanya disediakan pada waktu tengah hari sahaja. Setelah selesai sediakan makan petang, Fatimah naik ke ruang tamu semula. ‘Mak dengan Bapak macam okey je gurau-gurau tu. Huh aku kena berani! Kuat Fatimah.. Caiyok.. caiyok!!’ Fatimah cuba menggagahkan kaki untuk terus melangkah ke ruang tamu. Fatimah perlu berbincang dengan kedua ibu bapanya. Keputusan yang dibuat bukan sahaja untuk dirinya malah untuk keluarganya juga.
“Mak.. Bapak.. Timah ada perkara mahu dibincangkan dengan mak dan bapak. Izinkan Fatimah?” Fatimah bersuara  dengan yakin dan penuh sopan sebaik sahaja duduk di kerusi berhadapan dengan Mak Mah dan Pak Abu.
“Bapak izinkan. Fatimah mahu bincang apa sayang?” soal Pak Abu dengan lembut.
“Fatimah mahu minta izin dari bapak dan mak untuk ambil ujian di sekolah. Fatimah dah hampir dua tahun pergi belajar di pondok surau. Fatimah belajar dengan Ustaz Rahman, Cikgu Rahim dan kawan-kawan termasuk Razman. Azim pun Fatimah ajak bersama. Sebenarnya Fatimah takut mahu berterus-terang dengan mak dan bapak untuk pergi belajar tapi sampai bila Fatimah mahu sorokkan. Fatimah tak mahu pelajaran tu tak berkat jika mak dan bapak tak izinkan.” Akibat gemuruh, hanya sekali lafaz dan dengan satu nafas Fatimah berterus-terang. Laju. Macam kilat. Huh mengah nafas Fatimah dibuatnya. ‘Eh kenapa mak dengan bapak senyap je ni?’ Fatimah tiba-tiba terasa takut. Takut dimarahi.
“Mak.. Bapak..” Fatimah memberanikan diri memanggil Mak Mah dan Pak Abu yang kelihatan seperti terkejut.
Bagai baru tersedar dari mimpi, Pak Abu bersuara. “Sejak bila Timah cakap laju macam kena kejar dek hantu ni?” Bapak menyoal Fatimah yang seperti seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman.
“Mak tahu kau pergi belajar nak. Azmi ada bagitahu mak kelmarin tapi kami tiada duit nak belanjakan peperiksaan kau tu. Duit yuran sekolah adik-adik kau pun tak terbayar. Asmah sendiri tak dapat masuk tadika.” Keluh Mak Mah. Mak Mah kesal kerana tidak mampu sekolahkan anak bongsunya, Asmah.
“Sayang jangan cakap macam tu. Asmah akan masuk sekolah rendah tahun depan. Timah rajin ajar Asmah membaca. Saya rasa Asmah lebih pandai membaca jika nak dibandingkan dengan budak-budak di sekolah tadika tu.” Pujuk Pak Abu. Mak Mah mula terfikir selama ni Asmahlah yang sering bacakan surat kabar untuk dia. Mak Mah tidak mengenal huruf. Mak Mah bersyukur di kurniakan anak-anak yang bijak pandai.
“ Itupun tahun depan mak tak tahu bagaimana lagi nak cari duit untuk menampung Asmah ke sekolah. Yurannya lagi. Azim minta duit untuk SPM, Su minta untuk PMR. Jika tak bayar yuran yang tertangguh, cikgu mereka tak mahu letakkan nama mereka dipeperiksaan walaupun jika yuran peperiksaan dah dibayar.” Mak Mah sedih bila teringat duit untuk sekolah anak-anak dia tak pernah cukup. Pakaian dan kasut sekolah anak-anaknya juga dah tiga tahun tak berganti. Tangisan Mak Mah membuatkan Fatimah serba-salah. Jika dia tidak diutarakan kehendaknya, pasti mak tidak akan menangis begini.
“ Mak.. Maafkan Fatimah. Timah akan batalkan hasrat Timah asalkan mak tidak menangis lagi.” Bertakung air mata Fatimah melihat mak menangis. Terasa derhaka melihat air mata emak mengalir kerananya.
“Macam nilah Timah. Kau nak sambung belajar, pergilah. Penghulu dah bincang dengan bapak semalam. Dia akan bayarkan duit SPM kau tu. Mulanya bapak tidak setuju. Dia desak juga untuk terima bantuan darinya. Cuma... Bantuan dia tu, dia minta balasan.” Pak Abu mengeluh memikirkan kata-kata penghulu semalam. Mak Mah dan Fatimah pandang Pak Abu dengan penuh tanda tanya.
Sedikit sebanyak soalan Mak Mah dibenak tadi terjawab. Sebaik sahaja melihat suaminya muram sejak pulang dari surau malam tadi, Mak Mah terus cuba memikirkan jenaka. Namun jenaka dibenaknya terpaksa dituju pada esok hari gara-gara Mak Mah mahu beri masa pada Pak Abu berfikir. Pagi itu, Mak Mah melihat Pak Abu masih termenung. Tugas seorang isteri, menghiburkan lara suami. Nasib baik umpannya mengena. Mak Mah tidak rela melihat suaminya bermuram durja. Dia mudah terasa sayu jika suaminya berterusan dalam keadaan begitu.
“Apa balasan yang diharapkan penghulu, bapak?” Fatimah bertanya dengan hati yang berdebar-debar.
“Penghulu cakap kalau kau tidak lulus, dia minta kau bernikah dengan Razman. Jika kau lulus, kau kena bertunang dengan Razman. Dia akan biaya kau hingga kau masuk unibersiti dan kau mesti nikah dengan Razman lepas kau keluar dari unibersiti.” Pak Abu terlihat sedikit cahaya gembira di mata anaknya itu. Sedarlah dia akan kebenaran kata-kata penghulu semalam.
“Timah ikut kemahuan mak dan bapak. Jika itu yang terbaik, Timah redha. Timah cuma ingin berjaya dan ubah nasib keluarga kita.” Fatimah berasa lega dan tersenyum. Namun senyuman itu terpaksa disorokkan agar mak dan bapaknya tidak berfikir dia dah gatal nak kahwin. ‘Alhamdulillah....Terima kasih Ya Rahman.. Ya Rahim..’ Dalam diam, Fatimah mengucap syukur yang tidak terhingga.
“Tapi bapak, bukan unibersiti tapi universiti.” Fatimah menahan lucu apabila dengar ayahnya pelat menyebut perkataan ‘universiti’.
“Apa pun boleh la..” Ayahnya pura-pura serius apabila anaknya kelihatan seperti menahan ketawa.
“Assalamualaikum mak.. Assalamualaikum bapak.. Azim dah balik..” Tiba-tiba Azim melangkah masuk ke rumah dengan senyuman yang melebar. Lantas dia hampiri kakaknya dan mencium pipi kakak kesayangannya itu. “Terima kasih Along.. Azim dah berjaya..” Ciuman untuk mak dan bapak pula diberi. “Terima kasih mak.. Terima kasih bapak.. Mak dan bapaklah idola Azim dan adik-adik. Azim sayang mak dan bapak” ucap Azim dengan air mata gembira.
“Kenapa kau ni Azim? Buang tabiat ke?” Pak Ali geleng kepala. Pelik-pelik perangai anak-anaknya hari ini. Tanpa membuang masa, Azim menyelongkar begnya. Dia menunjukkan kad laporan pertengahan tahun dan surat dari sekolah yang diberi oleh Cikgu Salmi tadi. Pak Ali mengambil surat dan kad laporan yang diberikan oleh azim. Mak Mah turut membaca surat dan kad laporan tersebut sambil menitiskan air mata gembira.
“Tahniah nak. Kau betul-betul buat kami bangga. Semua A1. Ya Allah terima kasih.” Mak Mah mengucapkan syukur kehadrat Ilahi yang tidak terhingga. Tawaran biasiswa dan bantuan penuh bayaran yuran SPM yang diberikan kepada anaknya cukup membuktikan pencapaian anaknya benar-benar dihargai.
“Eh.. Ada lagi berita yang Azim nak sampaikan. Mak dan bapak cuba teka...” Azim menyoal mak dan bapaknya dengan pandangan yang nakal.
“Ha kau jangan buat benda bukan-bukan.” Mak Mah mula geram dengan pandangan nakal anaknya itu. Azim memang kuat menyakat. Pak Ali hanya ketawa. Hari ini cukup membahagiakan hatinya.
“Eh adik-adik mana? Bukan ke korang sepatutnya balik sama hari-hari?” Soal Pak Abu tiba-tiba.
“ Sebenarnya... Sebenarnya... Sebenarnya...” Azim tiba-tiba membuat mula sedih..
“Sebenarnya apa!” Mak Mah sudah tidak sabar mahu menunggu perkabaran apa lagi yang mahu disampaikan oleh anaknya itu. Berita burukkah? Ya Allah lindungilah anak-anakku.
“Satu.. Dua.. Tiga..!!” Tiba-tiba Aiman, Alif, Sutinah, Amirah, Amir dan Maimun menyerbu masuk kerumah. Riuh rendah suasana di ruang tamu ketika itu. Namun riuh yang menggembirakan. Masing-masing membawa berita gembira. Semua anak-anaknya mendapat keputusan yang baik dan mendapat biasiswa dari sekolah. Moga anak-anaknya ini menjadi contoh untuk anak-anaknya yang masih kecil. Dalam diam, Pak Abu merencana untuk membuat majlis kesyukuran untuk kejayaan anak-anaknya hujung minggu itu.
“Azmi, petang ni kau tolong ambil adik-adik kat sekolah ya. Ayah nak pergi pekan kejap.” Dalam keriuhan itu, Pak Abu meminta tolong dari Azmi. ‘Tak salah berhabis sedikit duit simpanan untuk menghargai kejayaan anak-anak.’ Pak Abu bermonolong dalam hati. Dia cuma mahukan yang terbaik buat anak-anak kesayangannya.
“Baik ayah.” Azmi akur dengan permintaan ayahnya.
“Kami ikut ayah ya. Kami nak cari buku rujukan di pekan. Kami dapat duit hadiah dari cikgu.” Aiman dan Alif memohon keizinan. Pak Abu mengangguk sambil tersenyum.
Pada malam itu, mereka berkumpul seperti kebiasaannya selepas menghabiskan makan malam. Roslan, Syamil dan Lisah menunjukkan kad laporan mereka. Pak Abu dan Mak Mah berasa gembira kerana keputusan anak-anaknya itu tiada satu pun gagal. Pesan Pak Abu, agar anak-anaknya terus berusaha untuk mencapai kejayaan.

“Hidup ibarat mendaki gunung. Makin tinggi gunung didaki, makin tinggi cabarannya. Lagi tinggi cabaran, lagi banyak keindahan yang akan dapat kita lihat dan perolehi sepanjang hidup kita. Jadi jangan sesekali mengalah. Berusaha dan terus berusaha ya anak-anak ayah.” Pak Abu memberikan semangat kepada anak-anaknya. Mereka berpelukan tanda bahagia. Pak Abu dan Mak Mah benar-benar bersyukur memperolehi kebahagiaan yang tidak pernah mereka jangka. Walaupun mereka miskin harta, namun mereka kaya dengan kebahagiaan. Sesudah makan, Pak Abu terus ke surau seperti biasa. Anak-anak lelaki Pak Abu turut berjalan sama ke surau. Pak Abu membawa pulut kuning buat jemaah surau sebagai tanda syukur atas kejayaan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment